Sunday, July 18, 2010

Bulan puasa dan Hari Raya Aidilfitri

Bulan puasa adalah di dalam bulan Ramadhan apabila semua orang Islam yang sihat, telah baligh dan tiada halangan mesti berpuasa dari terbit matahari hingga ia terbenam. Puasa meliputi menahan diri daripada makan, minum, merokok, melakukan seks, bertutur dan kelakuan yang tidak sepatutnya. Ini adalah cara melatih diri untuk mensucikan rohani dan mendekatkan diri kepada Tuhan. Orang Islam percaya di dalam bulan Ramadhan, Allah memberi banyak keistimewaan kepada umat manusia. Antaranya, pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup. Pahala melakukan kebaikan dilipatgandakan dan doa diperkenankan. Solat terawih menjadi sunah Rasul dan dilakukan setiap malam di merata masjid atau di kawasan lapang secara berjemaah. Majilis berbuka puasa atau iftar sering diadakan. Ini semua dapat merapatkan hubungan silaturahim. Solat Tahajud juga digalakkan.

Hari Raya Aidilfitri disambut pada 1 Shawal menandakan berakhirnya bulan Ramadhan. Bermula dengan takbir Hari Raya pada malam hari selepas Maghrib. Sesetengah masyarakat mengadakan majilis bertakbir dan jamuan beramai-ramai pada malam itu sambil bermaaf-maafan antara satu sama lain. Pada pagi 1 Syawal, umat Islam berjemaah solat Aidilfitri di masjid-masjid dan kawasan lapang di mana mereka mendengar khutbah Hari Raya. Pada hari ini, meraka memakai pakaian tradisional seperti songkok, berkain samping, baju kurung, kebaya, dan mengunjungi sanak sedara dan sahabat handai sambil menikmati hidangan dan juadah istimewa Hari Raya. Begitulah kemeriahan suasana Hari Raya di Asia Tenggara.

No comments:

Post a Comment